Lama betul tak buat karangan autobiografi dalam Bahasa Melayu. Baiklah, dengan bahasa yang paling baku dan jitu, saya akan menulis sebuah karangan bertajuk "Saya Seekor Babi".
Saya Seekor Babi
Saya adalah seekor babi yang dilahirkan 5 tahun lepas di sebuah ladang ternak berhampiran dengan pekan Selangau. Saya adalah anak ketiga daripada 12 ekor adik beradik yang lahir dari ibu yang sama. Saya tidak pernah melihat bapa saya kerana ketika saya berada dalam kandungan ibu saya, bapa saya telah disembelih untuk memenuhi permintaan daging babi pada musim Gawai Dayak.
Kini, saya tinggal di ladang ternak babi berdekatan dengan Sarikei. Kehidupan harian saya ringkas. Saya bangun sekitar jam 6 pagi untuk menunaikan ibadat tasbih bersama-sama dengan keluarga saya. Setelah itu, saya akan bersarapan bersama-sama saudara-saudara saya di ruang makan pada pukul 8, di mana pengusaha ladang saya akan menyediakan bahan makanan yang sesuai untuk kesihatan kami.
Pada tengah hari, kami menjalankan aktiviti kebudayaan bebas, di mana sesetengah babi akan berbicara mengenai hal keluarga, kepemimpinan ladang, hal ehwal babi dan keadaan ladang. Saya kurang berminat tentang hal-hal seperti ini kerana lazimnya mereka hanya akan membicarakan perkara yang sama setiap hari tanpa mampu mengambil sebarang tindakan yang positif. Walau bagaimanapun, saya tetap akan mengambil bahagian dalam perbincangan ini kerana saya tidak mahu ketinggalan dalam hal ehwal semasa di ladang saya.
Pada petangnya, kami disajikan lagi dengan makanan yang berkhasiat. Setelah itu, kami akan berkumpul bersama-sama untuk aktiviti tasbih. Aktiviti tasbih ini amat penting agar kami tidak menjadi seperti manusia yang tidak bertanggungjawab dalam melaksanakan tanggungjawab mereka. Dalam aktiviti ini, semua kami akan bertasbih dan bertahmid dengan suara yang perlahan-lahan.
Pada malamnya, kami semua akan tidur untuk menjana kembali tenaga untuk keesokan harinya. Namun, saya jarang-jarang dapat tidur dengan lena. Saya kadang-kala terfikir kenapa kami semua dianggap najis yang terkotor sekali oleh sesetengah manusia. Saya juga terfikir mengapa kami semua diternak sebagai bahan makanan oleh manusia.
Saya tidak tahu bila kehidupan saya akan berakhir. Saya berserah kepada Tuhan Yang Maha Esa dalam perkara berkenaan. Adakah saya akan dihinggapi penyakit, disembelih atau dibunuh, saya tidak pasti. Perkara ini amat menyedihkan hati saya selaku seekor babi yang tidak punya kuasa terhadap kemahuan Ilahi. Saya juga punya keluarga, teman dan sahabat yang saya sangat hargai dan sayangi. Saya tidak menginginkan apa-apa pun terjadi kepada mereka.
Setiap hari saya akan melihat pengusaha ladang saya membawa sesetengah daripada kenalan saya ke tempat yang saya tidak tahu. Saya tidak melihat mereka kembali selepas itu. Mudah-mudahan Allah memberkati mereka.
Semoga suara saya didengari Allah hendaknya, dan moga-moga juga ada manusia yang sudi membayangkan perasaan dan kehidupan kami, walaupun kurang tepat dan tidak menyampaikan isi hati kami yang terpendam.
No comments:
Post a Comment