Friday, November 30, 2012

Euforisme

Palestin telah diiktiraf sebagai sebuah negara, kalaupun hanya sebagai sebuah negara pemerhati. Itu lebih baik daripada menjadi satu wilayah yang tidak punya sebarang kedaulatan yang diiktiraf oleh dunia, wilayah yang menjadi mangsa pendudukan dan penjajahan oleh negara asing-Israel-yang tidak mempedulikan tentang anak watan Palestin, melayani mereka ibarat mereka boleh diketepikan begitu sahaja. Setelah bersabar puluhan tahun akhirnya warga Palestin boleh meraikan kemenangan yang begitu sukar dicapai ini, dengan sokongan dunia dan juga dengan keimanan dan keyakinan mereka terhadap satu daulat Palestin yang merdeka.

Tapi kita tahu dan senantiasa gusar bahawa apa yang kita capai hanya buat sementara sahaja. Ada sahaja masalah dan faktor-faktor yang boleh menjadikan harapan kita untuk satu daulat Palestin menjadi satu lagi hasrat yang dihampakan, sama ada oleh keganasan bergolak, kebencian mendalam, kegagalan diplomasi ataupun kedegilan ekstremis dari kedua-dua pihak. Segalanya boleh berlaku dan kerana itu, aku cuba untuk tidak terlalu optimis dengan proses mencapai keamanan yang stabil dan hakiki. Aku hanya seorang yang berada di luar konflik, aku tidak boleh berbuat apa-apa. Apa yang aku boleh lakukan hanya bantuan kewangan yang sedikit dan terhad kepada aktiviti pro-keamanan, doaku yang barangkali tidak didengari kerana keraguanku, dan luahan-luahanku, sepertimana yang tertulis ini.

Jangan ada peluru dimuntahkan dari mana-mana senjata.

No comments:

Post a Comment