Sunday, August 14, 2011

Murni

-Murni. Satu perkataan. Satu sifat. Di mana kita bisa menukilkan daripadanya makna-makna yang tertentu, menurut pemahaman kita terhadap bahasa Melayu khususnya, dan pemahaman kita tentang realiti kita umumnya.

-Adapun "murni" itu dalam Kamus Dewan ditakrifkan sebagai "tidak mengandungi unsur-unsur asing, bersih benar, suci, tulen". Dari ini dapat dimaknakan bahawa "murni" membawa erti yang mengandungi konsep ketulenan, kesucian, atau dalam kata Inggerisnya "purity", "pure".

-Maka, perkataan "murni" ini seringkali membawa pengertian bahawa sesuatu yang digambarkan atau dibicarakan sebagai murni, membawa bayangan bahawa perkara demikian tidak dicemari oleh unsur-unsur yang boleh merosakkan kejatiannya atau sifat azalinya.

-Namun di dalam menelusuri takrif makna murni ini, kita bisa merenung ke dalam realiti kita yang jauh sekali berbeza dari bayangan kata "murni" ini. Kita boleh melihat di dalam keadaan dunia dan kehidupan kita, baik dari segi peribadi mahupun amnya, kita jarang sekali boleh terserempak dengan sesuatu yang benar-benar murni, sesuatu yang tidak punya cacat cela dan pengaruh yang kurang diingini.

-Saya berfikir bahawa kata "murni" ini membawa satu makna dunia bayangan yang diwacanakan oleh penuturnya, bahawa ada satu keadaan di mana tidak ada pencemaran dan penyelewengan berlaku, segala-gala yang dipandang akan punya sifat kejatian yang tidak tercemar.

-Adakah bayangan ini boleh dimuatkan di dalam hakikat kehidupan kita?

No comments:

Post a Comment