Saturday, August 20, 2011

کمبالي ک اصل

-Sudah setahun setengah aku mengembara.

-Dalam setahun setengah aku mengembara, aku melihat dan mengalami berbagai-bagai perkara, baik kegembiraan mahupun musibah, dan semua perkara itu telah mengubahku menjadi seorang yang berbeza.

-Kerana itu, aku berasa agak gundah-gulana tentang kepulanganku ke negeri asalku, ke pangkuan kerabatku dan sahabat-sahabat lamaku. Apakah aku akan pulang di mata mereka sebagai orang yang sama, atau apakah aku telah berubah terlalu jauh sehingga aku menjadi asing di mata mereka? Dan apakah aku boleh mengharapkan bahawa tempat aku lahir dahulu, rakan-rakan yang aku ketawa bersama dahulu, dan keluarga yang aku sayangi akan sama seperti dahulu? Secara realistik, aku berfikir bahawa jawapannya ialah tidak.

-Umurku sudah lebih 21 tahun. Rambutku telah mencecah paras bahu. Pandangan dan falsafah hidupku sudah bertukar. Ilmuku bertambah tapi aku berasa bertambah bebal. Apakah aku yang sebegini, bisa berharap bahawa segala-gala yang kukenal di rantau asalku akan bisa kekal, sepertimana ketika aku meninggalkannya dahulu? Tak mungkin, malahan tidak patut aku menyimpan harapan sedemikian, yang aku sangat tahu akan hanya menghampakan diriku.

-Aku tidak percaya pada konsep "selama-lamanya." Konsep itu sebetulnya bukan sebahagian daripada realiti dunia kita ini. Konsep selama-lamanya hanyalah dikhususkan untuk Allah, dan untuk Hari Pembalasan. Bahkan dalam Al-Quran itu, salah satu daripada nama yang Allah bagi kepada Hari Kiamat itu ialah " Yaum al-Khuld", Hari Yang Kekal. Konsep "kekal", konsep "selama-lamanya" ini tidak wujud dan tidak ada tempat di dunia kita ini, yang ditadbir berdasarkan takdir, masa dan Kalam Allah di Luh Mahfuz. Mengapa harus kita berharap bahawa hari ini akan kekal, situasi kita hari ini akan kekal?

-Memang kita punya harapan dan kemahuan bahawa apa yang kita sukai hari ini, sayangi hari ini, percaya hari ini, semua yang indah-indah ini akan kekal selamanya. Aku juga memiliki kemahuan ini, kemahuan bahawa perasaanku kepada si dia akan kekal selamanya, dia akan menjadi milikku sampai bila-bila, segala apa yang aku ada hari ini bisa ku bawa hingga akhir masa.

-Tapi dunia ini bukan tempat begitu. Dunia, seperti kata Allah, adalah tempat yang sementara, tempat kita bergurau senda. Gurau senda tidak akan membawa kita ke syurga, tidak akan membawa kita ke mana-mana. Ianya hanya satu benda yang menahan kita, mengurung kita dalam realiti bernama dunia. Dunia, walaupun dikatakan oleh Allah adalah gurau senda, namun gurau senda itu tiada kebahagiaan kekal di dalamnya, gurau senda itu tidak membawa kegembiraan kepada kita, malahan kita terkurung kerananya, kita tidak bebas kerananya, kerana kita diikat oleh keinginan kita kepadanya.

-Keinginan untuk kembali ke asal yang indah, akhirnya hanya akan mengecewakan diri. Buddha mengajar pengikut-pengikutnya untuk tidak mengharapkan apa-apa. Muhammad mengajar bahawa dunia ini tidak setinggi akhirat nilainya. Isa mengajar kita jangan berharap kepada masa depan. Masa depan tidak seindah mana, masa dahulu tidak bisa dikejar. Kita terperangkap. Kita diperangkap. Dan kita akan selamanya terperangkap, selagi kita tidak melihat kenyataan ini, kenyataan bahawa harapan yang terlalu tinggi akan menjadi harapan yang palsu, yang memusnahkan kita, yang menghancurkan kita, yang membawa kita ke neraka buatan kita sendiri.

-Aku pada malam ini mengharapkan agar aku bisa sujud di Kuala Lumpur besok hari, agar si dia akan sihat sejahtera sentiasa dan untuk sesaat cuma, janganlah ada peluru dimuntahkan dari mana-mana senjata.

-La haula wa la quwwata illa billah Al-Ali, Al-Azim.

No comments:

Post a Comment