Wednesday, October 13, 2010

Aku Rindu Kuala Lumpur

Kuala Lumpur.

Aku masih boleh mengingat dengan jelas, segala pengalamanku yang indah di sana. Pertemuanku dengan semua teman-temanku di IBT, pengalamanku belajar di IBT, dan suasana Kuala Lumpur yang tidak begitu indah kini menjadi salah satu khazanah yang berharga dalam suratan memoriku.

Aku teringat pada hari pertama aku di Kuala Lumpur. Aku ketika itu menggelabah, takut akan masa depanku. Aku tidak tahu sama ada aku akan mampu untuk mengejar destinasiku, dalam keadaan aku tidak punya cita-cita atau impian yang menjadi aspirasiku. Aku terasa bagaikan aku telah mengembara jauh dari masa silamku, telah menjejak satu bumi yang asing bagiku.

Namun, di Kuala Lumpur, aku bertemu sahabat-sahabatku di IBT. Setiap mereka punya pemikiran dan falsafah yang berbeza dalam hidup. Mereka mengajarku banyak perkara dan menjadi sebahagian dari hidupku yang tak lekang dari perubahan. Mereka telah menunjukkan kepada aku potensi yang terpendam dalam diri aku dan bagaimana untuk mengeluarkan kekuatan tersebut, sehingga aku kini masih mampu berdiri sebagai diri aku.

Kuala Lumpur bagiku adalah satu tempat yang menduga jiwa raga seorang manusia. Jika engkau tidak bersedia mengukuhkan jati dirimu dan tidak ingin beradaptasi kepada keadaan, engkau akan hanyut dan hampa di Kuala Lumpur. Namun, andainya seseorang itu berusaha untuk memperbaiki dirinya, dan tidak menyerah semata-mata kepada arus kehidupan. dia akan menjadi seorang yang lebih hebat, lebih menyerlah dan lebih gagah mengharungi kehidupannya.

Hari tak selalunya indah, langit tak selalu cerah. Memang, hidupku di Kuala Lumpur menyaksikan betapa sukarnya untuk aku dan sahabat-sahabatku berjuang, perjuangan yang tiada penghabisan. Betapa perbezaan di antara setiap individu itu boleh menjadi penghalang bagi sesuatu kelompok untuk terus kekal bersatu dan berjuang bersama.

Namun, aku hari ini melihat bahawa memori aku di Kuala Lumpur telah membentuk diri aku yang sekarang. Aku bukan lagi diri aku yang dahulu. Aku akan sentiasa berubah, sentiasa menghadapi perubahan.

Tapi, nostalgia dahulu di Kuala Lumpur tetap takkan berubah. Walaupun kenangan yang lalu akan pudar dan terus memudar, bahkan mungkin akan menghilang, sehingga ke akhir hayat akanku berusaha untuk mengekalkannya dan menyimpannya dalam jiwaku.

Aku rindu Kuala Lumpur. Tiada apapun yang bisa kekal di dunia ini melainkan Tuhan Yang Esa, hatta imanku kepada-Nya sekalipun, tidak akan bisa kekal selamanya. Cinta juga tidak akan kekal, segala yang bermula pasti berakhir.

Apa yang kekal? Itulah Tuhan kita semua.

-didedikasikan kepada rakan-rakan seperjuangan-

No comments:

Post a Comment