Sunday, August 17, 2014

Hidup 24 Tahun

-Alhamdulillah, dengan izin Allah, hidup aku sudah 24 tahun. Sekarang dengan usia yang bolehlah dikatakan dewasa ini, aku punya hak selaku orang dewasa. Aku secara teorinya bebas untuk mencari duit dan penghidupan sendiri. Dan itu aku lakukan dengan termampu. Dalam sebuah masyarakat yang tidak punya kebebasan mutlak dalam berhati nurani, aku secara separuh diam dan separuh bising menyuarakan bahawa aku tidak percaya kepada agama. Seandainya aku dahulu bukan penganut agama rasmi, ini tidak menjadi masalah. Namun bagi orang-orang yang didaftarkan oleh ibu bapanya dalam agama rasmi, fakta ini akan, dan telah, menjadi masalah kepada mereka. Bukan jarang aku mendengar kisah-kisah perjuangan orang dari kaum majoriti yang berjuang supaya nurani mereka yang sebenar-benarnya diiktiraf dan dianggap bukan sebagai jenayah, tetapi sekadar sebuah ekspresi nurani. Namun kisah-kisah itu selalunya berakhir dengan kemenangan di pihak yang empunya kekuasaan, dan suara-suara kecil itu hilang entah ke mana, melarikan diri dari cacian dan kekejaman kaum mereka yang tidak mahu mereka wujud sebagai diri mereka seadanya.

-Begitulah hidup; aku tahu bahawa ia tak mudah. Namun aku teruskan jua; aku cuba hidup seperti biasa. Tapi hakikatnya aku tak tahu ke mana aku boleh melangkah, dan apakah aku biasa melangkah seorang diri. Namun aku tak punya teman, dan tiada siapa yang boleh aku andalkan untuk menemaniku. Mungkin aku harus mati seorang diri. Siapa tahu. Aku teruskan sahaja langkah hidup ini, jujur kepada diriku sendiri, dan cuba untuk menerima seadanya keadaan dunia, kerana aku telah dewasa, dan dewasa ini aku semakin mengerti bahawa mimpi muda, yang ingin melihat dunia ideal menjadi nyata, akhirnya menjadi sempadan yang membawa dukacita. Kerana itu aku harus membuka mata, dan melihat dunia ini sepertimana yang seharusnya, dan menyedari akan kerdilnya diriku, aku berhenti berharap yang bukan-bukan, dan terus maju ke depan, meredah lubang dan juga dinding. Aku tahu yang aku barangkali tidak punya kemampuan meredah semua itu; tapi aku tidak boleh berundur, kerana masa adalah jalan yang tak empunya titik balik berundur.

-Harusku gagahi jua. Tidak mengapa. Semua ini akan berakhir juga akhirnya.

No comments:

Post a Comment