"Berpeganglah kamu kepada Tali Allah dan janganlah kamu berpecah-belah..."
Ayat ini menjadi punca mengapa umat Islam tidak mempunyai kebolehan untuk menangani perbezaan politik, dan mengapa demokrasi sukar dicapai di negara-negara Islam.
-Seseorang yang telah mempelajari Sirah Rasul, dan telah mengkaji maksud dan penuturan Kitab Quran harus mengerti bahawa peribadi Muhammad Rasul pembawa agama Islam, sifat agama Islam sebagai agama yang kamil, dan juga peristiwa-peristiwa yang membentuk sifat beragama agama yang dipanggil Islam, adalah bersifat politik dalam banyak segi. Sekiranya dipandang semua kejadian-kejadian yang berlaku di antara umat Islam Madinah dan golongan yang memerangi dan diperanginya dari kaca mata yang tidak dipengaruhi oleh akidah Islam, maka akan dapat dilihat bahawa politik Rasul merupakan sesuatu yang bergerak demi kesinambungan agama; Rasul memerangi golongan Yahudi yang dilihat mengancam kesinambungan daulat politik Islamiyah, dan menghukum mereka dengan hukuman buang negeri dan hukuman bunuh secara kolektif. Semua ini untuk membina sebuah negara yang dipanggil Madinah al-Munawwarah; negara yang tidak boleh mempunyai golongan yang menentang kepimpinan Nabi; Nabi memerintah secara autokratik dengan mandat ketuhanan dan kerasulan. Di dalam keadaan ini, sesiapa yang dilihat menentang Nabi dan pemerintahan Madinah, diujarkan sebagai munafik. Munafik hukumnya bukan Islam, kalaupun mereka secara lahiriahnya dan teologikalnya mengakui ketauhidan Allah.
Kewujudan istilah munafik ini menjadikan politik Islam bercelaru, kerana sesetengah daripada pemikir dan politikus yang menggerakkan politik umat Islam menggunakan istilah ini untuk mentakfirkan orang-orang yang melawan mereka. Di Mesir perkara ini sedang terjadi; bagi umat Islam, munafik boleh dibunuh, dan mereka saling memunafikkan antara satu sama lain; justeru timbul satu keadaan di mana masyarakat am jatuh ke dalam situasi huru-hara dek kerana polarisasi masyarakat yang berpunca dari salahguna agama dan pemahaman pemerintahan negara yang 'Islamik' yang tidak memberi ruang untuk perbezaan politik. Politik dan agama tidak dipisahkan; berlainan fahaman politik bererti berlainan agama, dan yang berlainan agama dihukum munafik, yang bisa dibunuh begitu sahaja.
-Ketika Mursi berkuasa, Mursi mencuba untuk menggerakkan kembali Mesir mengikut aduan dan acuan Ikhwanul Muslimin. Hal ini tidak disukai oleh golongan tertentu dalam masyarakat; acuan Ikhwanul Muslimin dianggap konservatif, tidak pragmatik dan tidak praktikal. Harus diingat juga bahawa Mursi berhadapan dengan birokrasi era Mubarak; birokrasi yang sepanjang umurnya (80 tahun) telah berhadapan dengan Ikhwanul Muslimin sebagai 'musuh negara.' Di sini timbul keperluan untuk membina hubungan dan jambatan antara Ikhwan dengan birokrasi; namun Ikhwan dan birokrasi gagal membina hubungan berkenaan kerana tiada persefahaman dan kompromi di antara mereka.
-Saya mengira bahawa Ikhwan terlalu naif dalam percaturan politik. Politik memaksa anda menipu demi kemaslahatan rakyat; Ikhwan gagal mengerti bahawa politik memerlukan anda untuk berkompromi dengan rakyat. Kerana itu mereka telah dijatuhkan, dan tiada konsensus bersimpati dengan mereka melainkan dari penyokong setia Ikhwan, yang berjumlah ramai dan kuat bersuara; Ikhwan adalah sebuah gerakan yang sudah berusia, dan usia menjadikan Ikhwan ramai ahli dan ampuh dalam berorganisasi. Namun mereka masih naif dalam berpolitik.
-Bagaimana pula dengan tentera? Tentera Mesir punya sejarah melawan Ikhwan yang berlarutan panjangnya. Semenjak zaman Nasser tentera Mesir sudah melawan Ikhwan, maka tidak hairanlah andainya tentera Mesir bertindak kasar dan keras serta kejam menentang Ikhwan; permusuhan antara Ikhwan dan tentera amatlah dalam dan banyak berparut. Tidak ramai yang ingat yang dahulunya Ikhwan pernah menggunakan taktik menggunakan kekerasan; Ikhwan banyak mengebom tentera Mesir dalam perjuangannya. Itu sejarah lama.
-Sebenarnya, saya sudah tidak faham apa yang berlaku. Revolusi sudah menjadi perang antara Ikhwan dan askar; kedua-duanya bukan mereka yang mendokong semangat asal revolusi.
No comments:
Post a Comment