Thursday, May 23, 2013

Jumaat 24 Mei 2013

-Apakah seseorang itu bernilai, dan jikalau seseorang itu bernilai, adakah wujud sebarang perbedaan nilai antara satu-satu manusia itu dengan seorang manusia lainnya?

-Aku tidak percaya dengan konvensionalisme bahawasanya manusia itu punya sebarang nilai. Tidak; manusia itu dengan tikus, bakteria, daki, lembah sungai, pohon beringin, kitab-kitab, semua tidak punya sebarang nilai barang sedikitpun; hanyasanya kita meletakkan nilai di atas kewujudan kita ini, adalah kerana keangkuhan dan kelemahan kita sendiri yang mahu dan perlu berasa dihargai, kerana harga diri itu menjadi sebahagian dari intipati apa yang kita lazim ungkapkan dengan istilah 'kebahagiaan.'

-Kebahagiaan. Kata nama apakah itu? Konsep apakah itu? Manusia punya satu kehebatan yang luar biasa yang dipanggil dengan kata 'akal', yang membezakan antara kita dengan makhluk lainnya--ataupun lebih tepat lagi, kita merasakan bahawa di situ perbezaan kita, keistimewaan kita terserlah nyata--dan 'akal' ini menjadi akar punca segala konsep-konsep yang abstrak dan aneh, yang tak bisa diukur kira dengan pandangan kasar mata manusia; namun segala konsep-konsep ini terasa begitu nyata dengan hakikat yang begitu berat dan mengharukan sekali dek kerana 'akal' kita. Kebahagiaan nyata sekali adalah salah satu daripada konsep-konsep yang tercitra dek akal kita.

-Quran membilang bahawa Tuhan kita telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik rupa kejadian; apakah benar demikian? Barangkali itu hanya sekadar apa yang manusia bisa fikirkan; manusia merasa dirinya serba cukup, sehingga bahkan menganggap bahawa dirinya adalah ciptaan Tuhan yang tercantik dan tercinta--semua ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah konsep semata-mata; Tuhan yang ada kerana manusia menginginkan sesuatu yang lebih besar dari dirinya untuk menguar-uarkan betapa keagungan Tuhan itu menghasilkan satu keindahan yang dipanggil 'manusia'? Aku tidak percaya.

No comments:

Post a Comment