Thursday, February 28, 2013

کمبالي ک اصل 2

-Besok, tanggal 1 haribulan 3, aku berangkat ke Kuala Lumpur. Kali ini aku akan berada di Malaysia selama 3 minggu lebih. 3 minggu lebih! Bukan satu tempoh yang lama bagiku yang telah meningkat tua; namun apakah jiwaku lebih dewasa dan matang? Itu aku tidak tahu.

-Barangkali nanti di Malaysia, suasana kempen pilihan raya akan hangat menantikanku, untuk menyambutku dengan salam mesra dari panji-panji parti politik Malaysia, yang ingin memancing undi dengan sebanyak mungkin. Maaf, kali ini aku tidak mengundi; Aku belum berdaftar. Dan kalaupun aku berdaftar, aku tak nampak di mana letaknya sebab untukku mengundi kali ini. Sudah terlalu lama aku di luar negara. Aku tak nampak lagi ke arah manakah lagi aliran siasah Malaysia mengalir; ke Laut Cina Selatan? Itu Sungai Rajang, bukan ideologi kerajaan.

-Kuala Lumpur; tempat paling jijik yang pernah aku lihat seumur hidupku! Dengan kesesatan identitinya, kekotoran sampahnya, pembangunan tidak terancangnya, aku tak melihat di mana letaknya nilai estetik dan keindahan yang boleh aku nikmati di sana, melainkan kesepian menginap semalam di hotel seorang diri, memikirkan tentang nasib diriku yang sudah tak tahu ke mana harus ku membawa diriku ini, ke mana harus ku mengejar mimpi yang takku pasti kewujudannya. Barangkali asap rokok akan membantuku melenyapkan jiwaku dalam kala malam butaku meliar, membawa syaitan dalam bentuk kenangan lalu dan harapan yang palsu. Asap rokok menjadi bentengku menentang syaitan yang bertopengkan mukaku.

-Kembali ke asal; itu kata-kata omongan kosong dari harapan yang durjana! Takkan pernah wujud kembali saat ketika aku belum pernah berdosa, taubat takkan melenyapkan masa silam yang duka, penyesalan atas apa yang telah dan takkan terjadi. Aku yang lenyap ditelan waktu dan aliran dunia; apa yang harus kusedihkan? Aku takkan pernah bersedih di atas pemergian waktu silam, walaupun air mataku bercucuran di pipi. Air mataku hanyalah lambang. Aku takkan bersedih atas apapun jua. Tidak berguna kesedihan itu.

-Kuala Lumpur; bandar raya kutukan Tuhan! Tuhan; siapa Dia? Wujudkah Dia? Pentingkah Dia? Peduli apa aku dengan Tuhan. Kehendak Tuhan tiada siapa yang boleh mengerti; jadi buat apa aku kisah dengan apa segala perkhabaran yang diungkapkan manusia dengan istilah 'wahyu,' itu semua adalah angan-angan belaka bagiku. Namun di balik tiap-tiap anganan manusia itu tersimpan, tersirat satu benda yang dinamakan 'erti', dan tiap-tiap erti mengandungi secebis hakikat; Angan-angan manusia itu adalah cebisan dari hakikat yang mengungkapkan selayar citra yang dinamakan dunia; Tuhan adalah Benar kalaupun Dia hanya Khayalan, kerana Khayalan adalah Benar.

-Sudah-sudah sahaja aku mencarut di sini. Aku belum berkemas lagi. Dengan kucupan mesra dari batinku aku akan memeluk engkau, wahai nusantaraku Malaysia. Bi iznillah, Insya-Allah.

-Amen.

No comments:

Post a Comment