Wednesday, January 29, 2014

Menginsafi Dharma

-Kadang-kala dalam hidup, terutamanya dalam keadaan kita panas dan giat berjuang mempertahankan pendirian dan prinsip hidup kita sendiri, kita terlupa akan hakikat bahawa kewujudan kita, kerana bermulanya dari ketidakwujudan, akan berakhir dengan ketidakwujudan.

-Kalaupun kita tidak melupai hakikat fananya hayat di dunia karma ini sekalipun, kita jarang sekali boleh menginsafi bahawa dharma hidup, hukum realiti di dunia ini selalunya berakhir dengan pedih derita dan penyakit.

-Tatkala kita hidup Mati menjenguk tanpa ada tanda-tandanya. Tidak semestinya kita yang mati; tidak semestinya Mati menyedarkan kita tentang hukum alam yang tertakluk kepada kita manusia. Apabila kita melihat orang lain berjumpa dengan Mati kita melihat itu seolah-olah suatu fenomena yang tidak terpakai kepada kita. Kita tidak menjadi sedih dengan adanya Mati; kita tidak merasa apa-apa tentangnya. Seolah-olah Mati itu sekadar kita menghembus udara keluar dari peparu; kita tidak sedar sama sekali.

-Tapi andai kata sesuatu atau seseorang yang kita sayang hilang lenyap dari mata, itukah apa yang kita rasakan? Ketidakpedulian? Ketidakberperasaan? Sahabat yang hilang lenyap dari mata; air mata yang berlinang di pipi; itukah namanya kesengsaraan pengakhiran? Dan kesakitan itu kita bius dengan api kemarahan terhadap hidup; mengapa harus begini? INI TIDAK ADIL! Dalam hati kita menjerit kepada Tuhan seolah-olah benar Tuhan itu wujud, dan seolah-olah benar bahawa Tuhan itu Penggerak segala-galanya di alam semesta.

-Namun hakikatnya, manusia...tidak, barangkali hanya aku seorang sahaja...dalam hidup harus terus bergerak, maka luka pun disembuhkan, parut lama dikambus, kesakitan dibius. Lalu kewujudan menjadi seperti sedia kala; bosan dan tidak punya pengertian apa-apa, melainkan sebagai perjuangan bagi seorang yang memperjuangkan hidupnya dalam siratan kepercayaannya; perjuangan itu dadah yang menutup kezaliman hakikat dunia yang fana. Maka semua orang pun mahu mempercayai sesuatu, dan mahu menjadi hero yang mempertahankan kepercayaannya; PERTAHANKAN KALIMAH ALLAH! PERTAHANKAN MELAYU! PERTAHANKAN NEGARA! KEBEBASAN BERSUARA! JATUHKAN BN! JATUHKAN KEZALIMAN! HIDUP RAKYAT! HIDUP PROLETARIAT! HIDUP REVOLUSI!...Ini semua dadah. Semua slogan ini kosong dan tidak bermaksud apa-apa melainkan sekadar sebagai balutan menutup luka takut kekosongan di hati.

-Mungkin hanya aku seorang sahaja begini. Aku tidak tahu sama ada orang lain berfikiran sama; apa kaitan antara HIDUP MELAYU dengan tiupan sangkakala Israfil? Aneh sungguh berfikiran tentang hidup mati; kedua-duanya tidak berpisah sama-sekali, namun terasa begitu kontras sekali sehingga sukar memikirkan bahawa hidup dan mati adalah satu. Tapi hidup dan mati memang adalah satu; manusia hidup mesti mati.

-Alam sains fizika ada yang meragui dikotomi hidup mati sebegini; tiada yang betul-betul hidup; segala-galanya fenomena material semata-mata, justeru tiada jiwa yang sedar; tanpa jiwa tiada istilah 'berpisah roh dari jasad.' Tapi perpisahan tetap terjadi, dengan atau tanpa jiwa; aduhai dunia.

No comments:

Post a Comment