Monday, June 24, 2013

Sungai Igan Menjadi Saksi

-Kalau sekarang ini aku dapat balik ke Sibu, aku akan terus ke kawasan kampung dahulu barangkali. Melihat saki-baki apa yang dahulunya bergelar Kampung Datuk Lama; Kampung Datuk Lama yang bakal tinggal sejarah seperti Kampung Nyabor dan Kampung Pulau, kampung yang tidak bernilai apa-apa di sisi pembangunan bandar, melainkan nilai sejarah yang barangkali sebenarnya tidak lebih daripada sentimen emosi semata-mata; nilai sejarah yang tidak punya tempat di dalam kamus urbanisasi dan globalisasi kontemporari dunia.

-Barangkali Tuhan sudah lama menentukan bahawa Dia akan melupuskan Kampung Datuk Lama dari muka dunia. Allah, tiada Tuhan melainkan Dia; buat apa kita mempersoal keadilannya? Keadilan itu bukan untuk kita para manusia untuk merealisasikannya; kita hanya mencuba yang terbaik, tapi menurut aku, keadilan datang tanpa peduli dan perlu menjawab kepada ilusi dan emosi manusia; Descartes ada membilang bahawa kesempurnaan Tuhan adalah terletak di sifat-Nya yang tidak punya emosi--kerana emosi itu adalah tanda bahawa sesuatu itu punya kebergantungan kepada sesuatu yang lain; dan kebergantungan adalah sifat yang mustahil bagi Tuhan mengikut Descartes; Tuhan yang Sempurna bergantung perlu dan harap kepada sesuatu yang tidak sesempurna Zat-Nya sendiri? Itu kontradiksi mengikut Descartes.

-Justeru aku tidak menyalahkan takdir atas kebakaran Kampung Datuk Lama. Semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung (aku hanyalah seorang yang merasakan pedihnya kehilangan tanda memori lama, tidak lebih dari itu) harus bergerak dan harus melangkah ke hadapan. Tinggalkan sahaja kenangan lama di masa silam yang tak akan berkunjung kembali.

-Itu sungguh sukar bagiku. Sungai Igan menjadi saksi.

No comments:

Post a Comment