Thursday, September 22, 2011

Karma Lepas

-Cutiku di Malaysia telah tiba di penghujung.

-Kini aku telah kembali berada di rantau Jepun ini, dengan angin badai musim luruh yang menyambutku dengan kedinginan nyaman, berbeza dengan ketika aku meninggalkan Jepun dahulu, di mana pada ketika itu hujan turun, petanda perubahan musim yang menjelma. Aku secara jujurnya merasa agak aneh, kerana semalam aku masih berada di Kuala Lumpur, dan pada minggu lepas aku masih di Sarawak, dan perasaannya seolah-olah aku berada di dimensi yang berlainan, dengan bahasa yang berlainan, cuaca yang berlainan, orang-orang yang berlainan, lantas semua ini menyedarkan aku akan hakikat diriku yang punya daya upaya yang amat terhad, amat terbatas, dibatasi oleh sunnatullah dan hududullah yang merangkumi semesta seluruhnya.

-Kerana itu kadang-kala aku teringin untuk percaya bahawa Tuhan itu tidak wujud. Kesempurnaan ciptaan-Nya, kehebatan qadar-Nya, kesaksamaan pengaturan-Nya, semua itu tidak menjadikan aku seorang yang mencintai Tuhan, bahkan aku menjadi benci kepada-Nya, kepada kebesaran-Nya, kepada keagungan-Nya, kepada kewujudan-Nya. Aku benci kerana aku takut, bahawa kekuasaan itulah yang merampas harapanku, dan sesetengah orang mungkin berkata, bahkan Quran turut berkata bahawa Allah itu sebaik-baik perancang, namun aku kadang-kala merasa keinginan untuk menulis kembali kisah-kisah silam, untuk memadamkan segala apa yang disesalkan aku dan untuk menulis takdirku mengikut kemahuanku.

-Barangkali aku terlalu banyak berfikir. Barangkali aku membazirkan tenagaku di atas pemikiran yang sia-sia. Barangkali aku terlalu bosan dalam hidupku, dan perasaan bosan ini merasuk mindaku menjadi gila, berfikiran yang bukan-bukan sahaja. Barangkali aku harus bergerak mencari wanita untuk menjadi temanku di malam-malam, ataupun membaca lebih banyak Quran, ataupun berpeleseran dengan kawan-kawan, kerana perkara-perkara ini lebih bermanfaat untukku, lebih menyeronokkan dan lebih pintar.

-Tapi nampak gayanya karma lepas telah menghantuiku, kerana aku membiarkan diriku dihantuinya.

-Seorang daripada rakan lamaku telah mengatakan bahawa aku seorang yang terlalu paranoid. Aku berasa kata-katanya amat betul, aku sangat setuju dengan kenyataan itu. Dan paranoia selalunya merupakan sindrom, tanda-tanda kerosakan otak, minda yang 'dysfunctional', dan barangkali aku sedang mengalami 'mental spiral' yang mungkin berkesudahan kurang baik. Simpang malaikat empat puluh empat, kata orang Melayu. Mengapa empat puluh empat? Aku tidak berminat dengan sebab musababnya.

No comments:

Post a Comment